fb fb fb fb fb

Empat orang maut, banjir di timur Romania

Keadaan banjir yang semakin meningkat di kampung Slobozia Conachi, Romania/AFP

VISNOVA, 15 September- Sekurang-kurangnya empat orang maut dan beribu-ribu rumah rosak akibat banjir di timur Romania pada hari Sabtu, kata pihak berkuasa, ketika paras sungai meningkat menyebabkan pihak berkuasa berjaga-jaga di sebahagian besar Eropah tengah dan timur selepas beberapa hari hujan lebat.

Puluhan ribu isi rumah terputus bekalan elektrik di Romania dan Republik Czech dan lebih banyak hujan diramalkan dalam beberapa hari akan datang.

Poland, Slovakia, Hungary, selatan Jerman dan beberapa bahagian Austria juga dijangka mengalami lebih banyak hujan lebat.

Penduduk beberapa bandar di sepanjang sempadan Czech-Poland telah dipindahkan apabila paras sungai meningkat melepasi paras amaran, manakala ibu negara Czech, Prague, yang mengalami bencana banjir pada 2002, melaksanakan langkah bagi mengawal banjir.

Di Romania, banjir menjejaskan lapan daerah, kata unit kecemasan negara itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Marcel Ciolacu melawat daerah Galati yang terjejas teruk dan empat orang ditemukan maut serta kira-kira 5,000 rumah rosak dan 25,000 terputus bekalan elektrik.

Siaran televisyen dari kawasan itu menunjukkan jalan-jalan dibanjiri dengan air berlumpur, kelodak ketika penyelamat berusaha membawa penduduk ke tempat yang selamat.

"Keutamaan kini adalah menyelamatkan nyawa. Pada masa ini kami mempunyai semua logistik yang diperlukan untuk membantu dengan cepat," kata Ciolacu.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN