WASHINGTON, 28 Mac- Empat orang, termasuk seorang remaja perempuan, terbunuh dan sekurang-kurangnya lima cedera selepas seorang lelaki melakukan tikaman di beberapa lokasi di Illinois, Amerika Syarikat (AS).
Polis bandar Rockford dalam satu kenyataan berkata insiden itu berlaku pada petang Rabu dan suspek dilaporkan berusia 22 tahun telah ditahan.
Kenyataan itu tidak menyatakan apa-apa tentang kemungkinan motif kejadian.
Rockford terletak kira-kira 90 batu barat laut Chicago.
Mereka yang terbunuh termasuk seorang gadis berusia 15 tahun, seorang wanita berusia 63 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 22 tahun, menurut polis.
Kenyataan polis mengatakan bahawa lima orang telah cedera, namun media kemudian memetik polis mengatakan tujuh mangsa mengalami kecederaan. - AFP