BEIRUT, 1 April- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan empat kakitangannya cedera membabitkan tiga orang pemerhati dan seorang penterjemah dalam satu letupan di selatan Lubnan pada Sabtu lalu.
Kejadian berlaku ketika pemerhati dari Australia, Chile dan Norway serta seorang penterjemah bahasa Lubnan itu membuat rondaan berjalan kaki di sekitar 'Blue Line', sempadan yang diperhati PBB antara Israel dan Lubnan.
"Mereka dipindahkan untuk rawatan perubatan dan berada dalam keadaan stabil," kata Andrea Tenenti, jurucakap Pasukan Interim PBB di Lubnan, sambil menambah PBB akan menyiasat asal usul letupan tersebut.
Terdahulu, Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan dron Israel telah menyerbu kawasan Rmeish di selatan negara itu ketika insiden melibatkan kakitangan PBB tersebut berlaku.
Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati mengecam serangan berkenaan yang disifatkan sebagai insiden berbahaya, manakala Kementerian Luarnya berkata, serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa.
Tembakan rentas sempadan sejak Oktober lalu telah membunuh sekurang-kurangnya 347 orang di Lubnan termasuk pejuang Hizbullah dan sekurang-kurangnya 68 orang awam terkorban.
Pertempuran itu juga menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal di selatan Lubnan dan jajahan utara Israel dengan 10 tentera Israel dan lapan penjajah terbunuh. -AFP