fb fb fb fb fb

Pasukan WHO saksi sendiri 'kegilaan' Israel serang hospital

FOTO AFP

GENEVA, 1 April- Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 17 yang lain mengalami kecederaan dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Al-Aqsa di Gaza, semalam.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkongsi perkembangan itu menerusi platform X.

Ghebreyesus berkata, serangan berkenaan disaksikan sendiri oleh pasukan WHO yang dihantar di wilayah itu bagi melakukan penilaian terhadap keperluan inkubator di utara Gaza.

"Pasukan WHO sedang dalam misi kemanusiaan di Hospital Al-Aqsa di Gaza, apabila khemah di kawasan hospital itu dihentam serangan udara Israel hari ini (Ahad)," katanya.

Beliau tidak memberikan butiran mengenai mangsa, tetapi menambah: "Semua kakitangan WHO selamat."

"Kami sekali lagi menyeru agar pesakit, kakitangan kesihatan dan misi kemanusiaan dilindungi.

"Serangan berterusan dan ketenteraan menyasarkan hospital mesti dihentikan. Undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dihormati," tegasnya lagi.

Ghebreyesus menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata.

Ketika ini, hanya 10 buah hospital di Gaza masih berfungsi pada tahap minimum, berbanding 36 buah hospital sebelum permulaan perang pada 7 Oktober tahun lalu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA