fb fb fb fb fb

Durian murah gamit penggemar

KANGAR, 6 Jun- Sebanyak satu tan metrik tujuh jenis durian klon ditawarkan pada harga 30% lebih murah menjadi rebutan penggemar raja buah itu di Perlis.
 
Usaha ini hasil inisiatif usahawan harumanis yang kini menawarkan durian klon untuk dinikmati masyarakat setempat di Kampung Teluk Jambu, Bintong pada harga berpatutan.
 
Bagi Muhammad Aidil Akmal Sharidan, memandangkan tidak semua orang mampu membeli durian klon berikutan harganya yang tinggi, pendekatan menjual pada harga lebih murah membolehkannya berkongsi rezeki bersama penggemar raja buah.
 
Antara durian klon yang dijual ialah Musang King, D13, IOI, duri hitam dan Tok Merah yang sering mendapat permintaan tinggi bukan sahaja di Perlis malah seluruh negara.
 
Harga yang ditawarkan RM20 hingga RM35 sekilogram mengikut varieti yang sudah pastinya menjadi pilihan untuk dinikmati bersama keluarga.
 
"Dengan harga yang orang kata harga marhaen, harga yang berpatutan kita bawa satu tan setiap hari, setiap hari kena habis satu tan. Kalau tak habis kita lelong. Esok pagi buah baharu.

"Jadi dengan cara ini, kita dapat jaga kualiti dan juga orang datang beli dengan keadaan dapat buah yang segar," kata usahawan durian , Muhammad Aidil Akmal Sharidan dalam Program Jualan Durian di Kampung Teluk Jambu, Bintong yang mula beroperasi 1 Jun lalu, dibuka setiap hari mulai 9.00 pagi hingga 11.00 malam sepanjang musim durian ini.
 
Bekalan durian setakat ini diperoleh daripada pemilik dusun di Johor dan Pahang serta bakal ditambah bekalan durian dari Perak dan Kelantan selepas ini berikutan sambutan menggalakkan daripada penggemar durian.

(Muhammad Aidil berkata durian murah gamit penggemar)

Media Baharu