fb fb fb fb fb

Dunia berdepan situasi geopolitik paling kompleks, jejas ekonomi global- WEF

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), Borge Brende/ AFP

TIANJIN, 25 Jun- Dunia kini berada dalam keadaan geopolitik paling rumit dalam tempoh beberapa dekad, menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), Borge Brende.

Beliau turut memberi amaran bahawa ketidakstabilan itu menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.

"Ini adalah latar belakang geopolitik dan geo-ekonomi paling kompleks yang pernah kita lihat dalam beberapa dekad" katanya dalam temu bual bersama AFP, menjelang Sidang Kemuncak WEF di Tianjin, China.

Brende turut memberi amaran bahawa jika ekonomi dunia gagal dipulihkan dalam masa terdekat, dunia berisiko berdepan pertumbuhan perlahan selama sedekad.

Sidang WEF atau Summer Davos kali ini dijangka menghimpunkan pemimpin dari pelbagai negara, termasuk Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.

Forum itu berlangsung ketika dunia berdepan dengan ketidaktentuan global, susulan penglibatan Amerika Syarikat dalam konflik Iran-Israel, selain krisis tarif yang dilancarkan oleh Trump.

Mengulas perkara itu, Brende berkata masih terlalu awal untuk menilai kesan jangka panjang tindakan tarif tersebut.

"Terlalu awal untuk menyatakan apakah tarif ini akan berakhir kerana rundingan masih diteruskan. Itu adalah lembaran baharu, terutamanya kerana perdagangan adalah 'enjin' pertumbuhan", katanya.

 

ROSLINA BINTI DIN