RABAT, 8 Julai- Dua pemain Maghribi dari kelab bola sepak liga teratas, Ittihad Tanger telah hilang di laut sejak Sabtu selepas arus deras menghanyutkan kapal layar kecil mereka, kata seorang pegawai kelab pada Ahad.
Mereka berada dalam kumpulan lima pemain dari kelab itu yang berlayar di utara bandar Tangier apabila arus deras dan angin kencang menghanyutkan kapal layar mereka ketika mereka berenang di perairan dalam, kata timbalan presiden kelab Anass Mrabet kepada Reuters.
"Tiga pemain telah diselamatkan pada Sabtu, sementara operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan untuk Salman Harraq dan Abdellatif Akhrif yang hilang," katanya.
Para pemain tidak mempunyai pelampung apabila mereka melompat dari kapal layar kecil untuk berenang, katanya memetik kisah pemain yang diselamatkan.
Akhrif, 24, sudah menjadi ahli penuh skuad, manakala Harraq, 18, bakal naik ke pasukan senior tahun ini, tambah Mrabet.
Ittihad Tanger telah berada di liga utama Maghribi sejak 2015 dan memenangi kejuaraan liga buat kali pertama dan satu-satunya dalam sejarah mereka pada musim 2017-2018.
Bagaimanapun, mereka bergelut berada pada kedudukan bawah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.- REUTERS