SACATEPEQUEZ, 10 Julai - Dua lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap batu besar yang jatuh dari lereng bukit susulan kejadian gempa bumi di wilayah Sacatepequez, selatan Guatemala.
Menurut Pasukan Bomba Sukarela Guatemala, operasi menyelamat dijalankan di Kilometer 47 laluan dari Palin ke Santa Maria de Jesus sejak malam Selasa, berikutan jalan utama di lokasi tersebut tertutup sepenuhnya akibat tanah runtuh dan halangan besar.
“Pasukan kami terpaksa masuk melalui laluan alternatif kerana jalan utama terhalang. Kami membawa penjana dan peralatan khas untuk memecahkan batu besar yang menghempap kenderaan,” kata jurucakap pasukan, Hans Lemus.
Kedua-dua mangsa, berusia 53 dan 20 tahun, dilaporkan berada dalam trak pikap ketika kejadian berlaku. Mayat mereka berjaya dikeluarkan selepas beberapa jam usaha memecahkan batu di lokasi kejadian.
Pusat Penyelaras Nasional bagi Pengurangan Bencana (CONRED) memaklumkan bahawa jumlah korban akibat siri gempa bumi itu meningkat kepada empat orang, manakala sembilan yang lain masih dirawat di hospital.
Gempa bumi pertama berukuran magnitud 5.2 menggegarkan selatan Guatemala pada petang Selasa, kira-kira 60 kilometer dari ibu kota Guatemala City. Institut seismologi negara itu turut mencatatkan beberapa gegaran susulan dengan kekuatan antara 3.9 hingga 5.6 magnitud.