GAZA, 10 Julai - Sistem kesihatan Gaza kini berada di ambang kemusnahan, susulan kekurangan bahan api yang semakin kritikal. Ia meningkatkan risiko kepada pesakit, termasuk bayi pramatang dan pesakit unit rawatan rapi (ICU).
Pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa, Dr. Muhammad Abu Salamiyah berkata, hospital terpaksa menutup unit dialisis untuk mengekalkan operasi ICU dan bilik pembedahan yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan elektrik.
“Kami mempunyai 13 pesakit di ICU dan sekitar 100 bayi pramatang di hospital sekitar Gaza City. Inkubator mereka memerlukan bekalan elektrik berterusan untuk mengawal suhu dan oksigen,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa stesen oksigen, makmal dan bank darah bakal berhenti beroperasi jika bahan api tidak disalurkan segera.
Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza memaklumkan bahawa krisis bahan api ini telah berlarutan sejak sekian lama. Rejim zionis pula hanya menyalurkan bekalan secara minimum yang menyukarkan kelangsungan operasi hospital dan loji rawatan air.
Di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, jurucakap hospital, Mohammed Sakr memaklumkan bahawa hospital memerlukan sekurang-kurangnya 4,500 liter bahan api setiap hari. Namun hanya 3,000 liter bahan api yang tinggal dan dijangka habis dalam tempoh 24 jam.
“Kami terpaksa hentikan bekalan elektrik ke beberapa jabatan dan kekalkan hanya untuk ICU dan wad bayi. Malangnya, terdapat pembedahan dijalankan dalam gelap tanpa pendingin udara. Keadaan amat menyedihkan,” ujarnya.
Beliau menambah, sebanyak 50 pesakit di ICU kini bergantung sepenuhnya kepada bekalan elektrik dan akan terancam jika bahan api tidak diterima segera.
Jurucakap UNICEF, James Elder turut menyuarakan kebimbangan bahawa tanpa bahan api, operasi hospital mustahil untuk diteruskan walaupun dengan kakitangan terbaik.
“Bahan api bukan sahaja penting untuk inkubator dan bilik bedah, malah untuk kenderaan ambulans dan sistem bekalan air. Tanpa bahan api, semua sistem lumpuh,” jelasnya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, lebih 600 serangan terhadap fasiliti kesihatan direkodkan sejak konflik bermula pada Oktober 2023, dengan hanya separuh daripada 36 hospital di Gaza masih beroperasi sebahagiannya.