(Anggota tentera Ukraine sedang menyekat jalan pada Khamis selepas Presiden Rusia mengumumkan keputusannya untuk melancarkan serangan/AFP)
KIEV, 25 Februari - Dua letupan kuat kedengaran di tengah-tengah ibu kota Ukraine, Kiev pada awal pagi Jumaat, kata seorang wartawan AFP.
"Serangan ke atas Kiev dengan peluru berpandu balistik baru sahaja diteruskan. Saya boleh dengar dengan jelas dua letupan kuat," kata Penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Herashchenko di Telegram.
Sementara itu, peluru berpandu dan tembakan Rusia mula menghujani bandar Ukraine sejak semalam, selepas Presiden Vladimir Putin melancarkan 'operasi tentera' pencerobohan darat dan serangan udara berskala penuh.
Orang awam diarah terus berwaspada dan mematuhi perintah berkurung manakala 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata sekurang-kurangnya 137 anggota tenteranya terkorban selepas pertempuran pada hari pertama awal Khamis dan orang awam terbunuh manakala 316 lagi cedera.
Zelensky dalam video ucapannya tengah malam tadi berkata tiada siapa yang bersedia berjuang bersama mereka.
"Saya tidak nampak sesiapa. Siapa yang bersedia untuk memberi Ukraine jaminan keahlian NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara)? Semua orang takut," katanya.
Mengulas lanjut Presiden berkata, beliau dan keluarganya akan kekal di Ukraine walaupun Rusia mengenal pasti beliau sebagai sasaran nombor satu.
"Mereka mahu memusnahkan Ukraine secara politik dengan menjatuhkan ketua negara," kata Zelensky. - AFP