fb fb fb fb fb

Dua bas mini bertembung, 26 maut di Ivory Coast

Keadaan dua bas mini yang terbakar selepas bertembung dalam satu kemalangan di Daloa-Issia, barat Ivory Coast yang dikongsi menerusi Facebook 'ISSIA INFO'

ABIDJAN, 7 Disember- Sekurang-kurangnya 26 orang terkorban termasuk 10 rentung manakala 28 lagi cedera dalam pertembungan dua buah bas mini di Daloa-Issia, barat Ivory Coast pada Jumaat.

Pengarah Jeneral Pengangkutan Darat, Oumar Sacko memaklumkan bahawa pihak Kementerian Pengangkutan telah menghantar pasukan ke lokasi kejadian untuk menyiasat punca nahas tersebut.

Kemalangan maut seperti itu dilapor sering berlaku di Ivory Coast berpunca daripada keadaan jalan raya yang teruk, kenderaan uzur serta pemandu tidak memiliki lesen memandu sah.

Bulan lalu, insiden serupa berhampiran bandar Gagnoa mengorbankan 20 nyawa manakala pada September -- 13 orang rentung akibat pertembungan sebuah kereta dengan lori tangki minyak di utara negara itu.

Statistik Kementerian Pengangkutan menunjukkan antara 1,000 hingga 1,500 kematian berlaku setiap tahun akibat kemalangan jalan raya di Ivory Coast yang mempunyai kira-kira 1.5 juta kenderaan beroperasi.

Kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan termasuk sistem mata pada lesen pemandu, larangan mengimport kenderaan berusia lebih lima tahun, penyelenggaraan jalan raya yang lebih baik dan pemasangan kamera pemantauan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA