fb fb fb fb fb

16 maut dalam kemalangan bas di Ecuador

Tangkap layar kemalangan yang memaparkan seorang individu menarik keluar salah seorang mangsa yang berada di bawah bas yang terbalik/Twitter @RadioDinamicaE

QUITO, 7 Disember- Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban manakala lapan lagi cedera dalam pertembungan sebuah bas penumpang dengan sebuah kenderaan lebih kecil di wilayah Loja, selatan Ecuador pada Jumaat.

Menurut agensi kecemasan ECU911, kemalangan yang berlaku berhampiran sempadan Peru itu melibatkan bas pengangkutan antara wilayah dan sebuah kereta.

Bas tersebut dikatakan bertembung dengan kereta dari arah bertentangan sebelum terbalik seperti yang dilaporkan media tempatan.

Gabenor Loja, Alexandra Jara menyampaikan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan memaklumkan bahawa Hospital Isidro Ayora, hospital utama di wilayah tersebut, telah diaktifkan bersama pusat kesihatan berdekatan untuk menangani kecemasan itu.

"Semua agensi kerajaan bersiap sedia memberikan bantuan diperlukan," katanya pada platform sosial X sambil memberitahu polis menutup jalan untuk memastikan keselamatan dan memudahkan usaha menyelamat.

Kemalangan jalan raya merupakan salah satu punca utama kematian di Ecuador.

Pada 2023, hampir 21,000 kemalangan dicatatkan dengan hampir 2,400 kematian, manakala dalam tempoh lima bulan pertama 2024, terdapat 848 kematian daripada lebih 8,400 kemalangan yang direkodkan.

Pada September lalu, insiden bas terbalik di pinggir Quito yang membawa 35 penduduk asal etnik Waorani mengorbankan sembilan nyawa. -AFP

SITI AISHAH MD ISA