fb fb fb fb fb

Serangan dron terkena menara pejabat di Moscow - Datuk Bandar

MOSCOW, 1 Ogos- Sebuah dron melanggar sebuah menara pejabat di Moscow pada Selasa, manakala sekurang-kurangnya satu dron lain telah dijatuhkan, kata datuk bandar.

"Beberapa dron ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara ketika cuba terbang ke Moscow. Satu dron terbang ke menara yang sama di bandar Moscow seperti kali terakhir. Tingkat 21 telah rosak," kata Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin di Telegram

"Tiada maklumat mengenai kemalangan jiwa," katanya. Dalam masa sama perkhidmatan kecemasan turut ditempatkan di tempat kejadian.

Pada Ahad, Rusia telah menjatuhkan dron Ukraine yang menyasarkan ibu negara dalam serangan yang merosakkan dua menara pejabat di bandar Moscow, sebuah daerah perniagaan.

Menurut laporan agensi berita negara TASS, selepas serangan dron itu, lapangan terbang antarabangsa Vnukovo Moscow ditutup seketika. lapor

"Vnukovo ditutup buat sementara waktu untuk ketibaan dan pelepasan, pesawat itu dialihkan ke lapangan terbang lain," kata perkhidmatan kecemasan. Kemudian operasi itu disambung semula seperti biasa.

Moscow terletak kira-kira 500 kilometer dari sempadan Ukraine, jarang menjadi sasaran semasa konflik di Ukraine sehingga beberapa serangan dron pada tahun ini.

Serangan pada Ahad adalah yang terbaru dalam siri serangan dron baru-baru ini, termasuk di Kremlin dan bandar-bandar Rusia berhampiran sempadan dengan Ukraine yang dipersalahkan oleh Moscow ke atas Kyiv.

Kremlin berkata serangan itu adalah "tindakan terdesak" oleh Ukraine akibat kelemahan di medan perang.

Ukraine memulakan serangan balas pada Jun dan secara perlahan membuat kemajuan sederhana bagi menghadapi serangan daripada tentera Rusia.- AFP

(Pusat Perniagaan Antarabangsa Moscow yang rosak berikutan serangan dron/AFP)

Media Baharu