fb fb fb fb fb

DR Congo kecam "kelembapan" PBB berhubung kejatuhan Bukavu

Foto Reuters

NEW YORK, 18 Februari – Republik Demokratik Congo (DR Congo) mengkritik "kelembapan" Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) susulan penguasaan bandar Bukavu oleh kumpulan bersenjata M23.

Duta DR Congo ke PBB, Zenon Mukongo Ngay, dalam surat kepada Majlis Keselamatan, mengecam kegagalan badan itu mengambil tindakan tegas selepas serangan terhadap ibu kota wilayah South Kivu.

"Kerajaan saya amat kecewa melihat Majlis Keselamatan, yang seolah-olah dilumpuhkan, gagal mencapai keputusan walaupun keadaan amat kritikal," tulis Mukongo Ngay.

Beliau mendakwa kelumpuhan tersebut memberi "kebebasan penuh kepada pendudukan haram wilayah DR Congo oleh Angkatan Pertahanan Rwanda dan penyokong mereka daripada kumpulan pengganas M23."

Selepas menawan Goma, ibu kota wilayah North Kivu, kumpulan M23 dan tentera Rwanda mara ke South Kivu, memasuki pinggir Bukavu pada Jumaat sebelum menawan bandar itu pada Ahad.

Mukongo Ngay menggesa Majlis Keselamatan mengadakan mesyuarat tergempar dan bertindak segera.

"Seperti yang dijangka, kelembapan dan sikap tunggu dan lihat oleh Majlis Keselamatan hanya memburukkan keadaan sehingga membawa kepada kejatuhan Bukavu," katanya.

Sejak akhir Januari, Perancis merangka satu draf resolusi yang menuntut M23 menghentikan kemaraan dan tentera Rwanda berundur "tanpa syarat."

Resolusi itu juga menggesa DR Congo dan Rwanda menyambung rundingan diplomatik serta mencadangkan sekatan terhadap kepimpinan M23 dan "pihak yang memberi sokongan luar kepada M23."-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN