fb fb fb fb fb

Indonesia pinda undang-undang perlombongan, beri keutamaan kepada industri tempatan

Foto Reuters

JAKARTA, 18 Februari – Parlimen Indonesia dijangka mengundi pada Selasa bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda undang-undang perlombongan negara.

Pindaan itu bertujuan memperkukuh pembangunan industri pemprosesan mineral domestik serta mengawal selia pemberian permit perlombongan kepada kumpulan agama dan universiti.

Langkah tersebut diambil bagi menggalakkan penyertaan perniagaan berskala kecil dalam sektor perlombongan serta memastikan bekalan bijih mineral yang stabil bagi industri pemprosesan.

Indonesia, yang kaya dengan sumber mineral, berusaha memperkembangkan lagi sektor logam domestiknya.

Draf RUU tersebut telah diluluskan dalam mesyuarat antara badan utama parlimen dan kerajaan lewat Isnin.

Undian rasmi dijangka berlangsung dalam mesyuarat pleno pada Selasa.

Undang-undang baharu itu akan memberikan keutamaan akses kepada konsesi perlombongan bagi syarikat yang berhasrat membina kemudahan pemprosesan mineral.

Selain itu, kumpulan agama dan universiti, melalui unit perniagaan di bawah kawalan mereka, turut diberikan keutamaan akses kepada kawasan perlombongan tertentu sebagai sumber pendapatan.

Sebelum ini, keutamaan tersebut hanya diberikan kepada syarikat milik kerajaan.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia, pindaan itu memberikan kepastian kepada kerajaan dalam usaha menyusun semula sistem pelesenan perlombongan.

"Pindaan undang-undang ini juga memberikan kepastian kepada kami dalam usaha menyusun semula sistem pelesenan perlombongan," katanya dalam mesyuarat pada Isnin.

Pindaan turut dibuat bagi memenuhi keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 2021, yang mengarahkan semakan semula beberapa artikel berkaitan perlombongan yang didapati bercanggah dengan perlembagaan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN