TOKYO, 18 Februari – Jepun meluluskan sasaran baharu bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sehingga 2040, selain mengemas kini pelan tenaga serta dasar industri bagi tempoh yang sama.
Langkah itu bertujuan memastikan kestabilan dasar jangka panjang untuk perniagaan dengan menumpukan kepada usaha nyahkarbon, bekalan tenaga yang stabil serta memperkukuh industri bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Dasar iklim baharu menetapkan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 60 peratus daripada paras 2013 menjelang 2035 serta 73 peratus menjelang 2040, melanjutkan sasaran terdahulu sebanyak 46 peratus menjelang 2030.
Bagaimanapun, sasaran itu menerima kritikan daripada pakar dan ahli gabungan parti pemerintah yang menggesa pengurangan lebih ketara memandangkan Jepun – negara kelima terbesar dalam pelepasan karbon – masih bergelut untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Meskipun lebih 80 peratus daripada 3,000 komen awam menyokong sasaran lebih tinggi, Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Perindustrian tetap memuktamadkan sasaran tanpa perubahan selepas rundingan dengan pakar iklim.
Sebagai sebahagian daripada usaha global menangani perubahan iklim, Jepun akan menyerahkan sasaran baharu itu, dikenali sebagai Sumbangan Ditentukan di Peringkat Negara (NDC) di bawah Perjanjian Paris, kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bulan ini.
Pelan tenaga yang dikemas kini menyasarkan sehingga 50 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga Jepun menjelang tahun fiskal 2040, manakala tenaga nuklear akan menyumbang 20 peratus bagi memenuhi permintaan tenaga yang meningkat.
Namun, usaha untuk menghidupkan semula reaktor nuklear selepas bencana Fukushima 2011 menghadapi cabaran besar, menyebabkan tenaga nuklear hanya menyumbang 8.5 peratus daripada bekalan elektrik Jepun pada 2023.
Pelan baharu itu juga menghapuskan matlamat sebelumnya untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga nuklear dan sebaliknya menggalakkan pembinaan reaktor generasi baharu.
Kabinet Jepun turut meluluskan strategi nasional baharu yang menggabungkan dasar nyahkarbon dan perindustrian sehingga 2040, selaras dengan sasaran pelepasan dan pelan tenaga negara.
Strategi itu bertujuan mewujudkan kluster industri di kawasan yang kaya dengan tenaga boleh diperbaharui, tenaga nuklear, serta sumber tenaga rendah karbon lain.
Bagaimanapun, beberapa cabaran muncul, terutama dalam pasaran angin luar pesisir, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui.
Kos tinggi dan inflasi telah menyebabkan Mitsubishi Corp menyemak semula tiga projek domestik.
Selain itu, keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menarik semula AS daripada Perjanjian Paris serta pendiriannya yang tidak menyokong tenaga boleh diperbaharui turut menjejaskan perkembangan tenaga bersih di peringkat global.-REUTERS