VICTORIA, 27 Julai - Seorang doktor warga Singapura berdepan beberapa tuduhan di Australia atas dakwaan merakam rakan sekerja di tandas hospital.
Media tempatan, CNA yang memetik ABC News melaporkan, suspek, Dr Ryan Cho, 27, berdepan lima pertuduhan baharu termasuk menghasilkan gambar intim, menggunakan peranti pengawasan optik dan gagal membantu siasatan polis.
Siasatan mendapati Dr Cho disyaki merakam sekitar 4,500 video melibatkan sekurang-kurangnya 460 mangsa dari tiga hospital utama di Australia sejak 2021.
Kebanyakan mangsa adalah doktor wanita, jururawat, paramedik dan kakitangan kesihatan lain.
Kegiatan tidak bermoral itu terbongkar selepas seorang jururawat di Hospital The Austin, Heidelberg, menemui beg mengandungi telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam secara rahsia.
Peranti itu dilaporkan telah lama diletakkan di tandas sebelum disedari dan dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Dokumen mahkamah turut mendedahkan, Dr Cho menyusun rakaman mengikut nama dan lokasi tempat kerja mangsa.
Polis merampas beberapa peranti elektronik termasuk dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan pemacu keras yang mengandungi rakaman berdurasi hingga tiga jam.
Lesen perubatannya kini digantung dan dia tidak dibenarkan berkhidmat sebagai doktor di Australia.
Dr Cho dilapor menafikan semua tuduhan dan dijadual hadir ke mahkamah pada November untuk mencabar semua pertuduhan berkenaan.