BERLIN, 16 April - Pihak pendakwa raya Jerman pada Rabu mendakwa seorang doktor penjagaan paliatif di Berlin atas tuduhan membunuh 15 pesakit, dengan mendakwa suspek bertindak kerana mempunyai "nafsu membunuh".
Suspek berusia 40 tahun itu dituduh membunuh 12 wanita dan tiga lelaki antara September 2021 hingga Julai 2024 dengan menggunakan campuran ubat penenang yang membawa maut.
Media Jerman mengenal pasti suspek sebagai Johannes M., namun pihak pendakwa belum mendedahkan nama secara rasmi.
Doktor tersebut didakwa "memberikan ubat bius dan relaksan otot kepada pesakitnya, tanpa pengetahuan atau keizinan mereka", kata pejabat pendakwa raya Berlin dalam satu kenyataan.
Relaksan otot itu "melumpuhkan otot pernafasan, menyebabkan pesakit mengalami kegagalan pernafasan dan mati dalam beberapa minit".
Kesemua mangsa yang sedang menerima rawatan pada ketika itu berumur antara 25 hingga 94 tahun.
Dalam lima kes, suspek didakwa telah "membakar apartmen mangsa untuk menutup jenayah yang dilakukan".
Kertas pertuduhan terkini yang merangkumi 15 kematian menuduh suspek bertindak dengan "niat jahat yang terancang".
Pihak pendakwa memohon hukuman larangan seumur hidup daripada menjalankan kerjaya perubatan dan menuntut supaya suspek dipenjara dalam tahanan pencegahan sepanjang hayat. - AFP