fb fb fb fb fb

Doktor di hospital Argentina pakat mogok tuntut pelarasan gaji

Sekumpulan doktor adakan demonstrasi / Foto REUTERS

BUENOS AIRES, 3 Jun – Sekumpulan doktor residen dari Hospital Garrahan mengadakan demonstrasi di monumen Obelisk, Buenos Aires di Argentina, pada Isnin.

Mereka menuntut pelarasan gaji yang sewajarnya daripada kerajaan.

Para profesional kesihatan itu mahu
cadangan konkrit bagi meningkatkan kadar gaji yang setimpal dengan waktu kerja panjang dan beban tugasan yang ditanggung.

Tuntutan telah dibuat sejak dua minggu.

Pada hujung minggu lalu, Menteri Kesihatan Argentina, Mario Lugones, mengumumkan kenaikan gaji bagi doktor residen tahun pertama, daripada kurang daripada 800,000 peso kepada 1,300,000 peso bermula 1 Julai.

Namun, kenaikan itu tidak dipersetujui oleh mereka yang terlibat.

“Kami hanya ditawarkan bonus tidak bergaji sebanyak 300,000 peso, dan itu dianggap sebagai penyelesaian.

"Kami ingin tegaskan bahawa kami menuntut pelarasan gaji sebenar, dan ini langsung tidak memenuhi permintaan,” kata doktor residen tahun kedua di Hospital Garrahan, Martina Vignolo.

Protes secara aman itu turut disertai oleh rakan-rakan sekerja, pesakit pediatrik serta ahli keluarga, menunjukkan sokongan padu terhadap perjuangan para residen dalam sistem kesihatan awam negara.

Tunjuk perasaan itu menambah tekanan terhadap kerajaan Argentina yang sedang bergelut dengan inflasi tinggi dan krisis ekonomi, yang menjejaskan sektor awam secara keseluruhan.

-REUTERS

SITI AISHA MELISA YUHANIZ