fb fb fb fb fb

Annalena Baerbock dipilih Presiden Perhimpunan Agung PBB ke-80

Annalena Baerbock / Foto AFP

NEW YORK, 3 Jun – Bekas Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock, dipilih sebagai Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 pada Isnin. Ini meskipun menghadapi tentangan hebat daripada Rusia.

Jawatan Presiden Perhimpunan Agung PBB, yang kebanyakannya bersifat simbolik, dipilih setiap tahun secara bergilir mengikut wilayah.

Lazimnya, pemilihan dilakukan tanpa pengundian, namun pada tahun ini, Rusia menuntut undian rahsia bagi membantah pencalonan Baerbock.

Baerbock hanya muncul sebagai calon pada Mac lalu, selepas beliau dijadualkan berundur daripada jawatan Menteri Luar, susulan pilihan raya Parlimen Jerman pada Februari.

Beliau menggantikan diplomat Helga Schmid, yang sebelum ini telah diumumkan sebagai calon rasmi Jerman untuk jawatan itu sejak tahun lalu. Rusia dengan tegas menolak pertukaran calon tersebut.

Timbalan Duta Rusia ke PBB, Dmitry Polyanskiy menyifatkan Baerbock sebagai tidak kompeten, berat sebelah secara melampau, dan gagal memahami prinsip asas diplomasi.

“Keputusan pihak berkuasa Berlin untuk memaksa pencalonan beliau, ibarat meludah ke muka organisasi dunia dan menunjukkan penghinaan terang-terangan terhadapnya,” kata Polyanskiy.

Dalam undian rahsia yang diadakan itu, Baerbock menerima 167 undi sokongan, 14 negara berkecuali dan tujuh undi diberikan kepada Schmid. Selepas pemilihannya, Baerbock menyatakan komitmennya untuk menjadi pemimpin inklusif bagi semua negara anggota.

“Sebagai Presiden Perhimpunan Agung, saya akan menjalinkan dialog berasaskan kepercayaan dengan semua negara anggota. Pintu saya sentiasa terbuka untuk semua,” katanya. 

-AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ