fb fb fb fb fb

Disney tutup studio Lucasfilm di Singapura

('Darth Vader' pada majlis pembukaan kemudahan pengeluaran animasi baharu Lucasfilm
di Singapura 16 Januari 2014/AFP)

SINGAPURA, 15 Ogos- Studio kesan visual dan animasi, Lucasfilm di sini akan ditutup atas faktor ekonomi, kata firma induk Disney hari ini.

Bagaimanapun, Disney tidak menyatakan jumlah pekerja yang bakal terjejas dengan penutupan tersebut.

Lucasfilm ditubuhkan di Singapura pada tahun 2000-an oleh Industrial Light & Magic (ILM) yang diasaskan oleh pencipta Star Wars, George Lucas.

"Dalam beberapa bulan akan datang, ILM akan mengabungkan jejak globalnya dan menutup studio Singapura kerana faktor ekonomi yang menjejaskan industri," kata Disney dalam satu kenyataan.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dalam kenyataan bersama pula memaklumkan, keputusan Lucasfilm untuk menghentikan operasi di Singapura adalah sebagai tindak balas kepada perubahan dalam industri dan keadaan perniagaan.

"Industri media global berdepan gangguan daripada kemajuan teknologi yang pesat, manakala studio menghadapi cabaran berkaitan bakat dan keuntungan," katanya.

Studio Singapura terbabit dalam produksi Hollywood berprofil tinggi termasuk filem 'Iron Man', 'The Avengers'dan Star Wars', menurut laman web EDB.

Februari lalu, Disney 'memotong' 7,000 pekerjaan di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada penyusunan semula apabila perniagaan televisyen tradisionalnya semakin terjejas dan berdepan persaingan sengit serta bilangan pelanggan yang semakin berkurangan untuk perkhidmatan penstriman, Disney+. -AFP

(Patung Yoda di pejabat bangunan Sandcrawler Lucasfilm di Singapura
/Reuters)

Media Baharu