fb fb fb fb fb

Kadar kesuburan rakyat China menurun

(China merancang untuk menambah dua juta bayi setiap tahun/Reuters)

HONG KONG, 15 Ogos- Kadar kesuburan bagi rakyat China dianggarkan turun kepada paras terendah 1.09 pada 2022, menurut akhbar Harian Perniagaan Nasional, hari ini.

Angka itu bakal 'membingungkan' kerajaan yang ketika ini sedang berusaha meningkatkan jumlah kelahiran bayi di negara tersebut yang juga terus menurun.

Pusat Penelitian Kependudukan dan Pembangunan China, meletakkan negara itu pada tahap kesuburan terendah dalam kalangan negara yang mempunyai populasi lebih 100 juta penduduk.

Kadar kesuburan China sudah pun antara yang terendah di dunia bersama Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura.

Bimbang dengan penurunan populasi pertama di China dalam tempoh enam dekad dan penduduk yang semakin menua, Beijing segera mencuba pelbagai langkah untuk meningkatkan kadar kelahiran termasuk insentif kewangan dan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang lebih baik.

Presiden Xi Jinping pada Mei lalu telah mempengerusikan mesyuarat untuk mengkaji topik tersebut.

Beliau berkata, China akan memberi tumpuan kepada pendidikan, sains dan teknologi untuk meningkatkan kualiti penduduk serta berusaha untuk mengekalkan tahap 'kesuburan sederhana' untuk menyokong pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

Kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi hingga memaksa golongan ibu untuk berhenti bekerja telah menyebabkan ramai wanita tidak mahu mempunyai anak atau anak yang ramai.

Pihak berkuasa dalam beberapa bulan kebelakangan ini juga telah meningkatkan 'retorik' mengenai perkongsian kewajipan membesar anak juga tanggungjawab si bapa, namun cuti isteri bersalin bagi pekerja lelaki masih terhad di kebanyakan wilayah.

Persatuan Perancang Keluarga Hong Kong memaklumkan, bilangan wanita tanpa anak di wilayah pentadbiran khas China meningkat lebih dua kali ganda daripada lima tahun lalu kepada 43.2% tahun lepas.

Peratusan pasangan yang mempunyai satu atau dua anak turut jatuh, manakala purata bilangan anak bagi setiap wanita menurun daripada 1.3 pada 2017 kepada rekod rendah 0.9 tahun lepas, menurut tinjauan itu. -AFP

(FOTO REUTERS)

Media Baharu