fb fb fb fb fb

Disangka mati, lelaki tersedar di atas pembakaran mayat

Seorang lelaki India tersedar di atas pembakaran mayat hanya beberapa saat sebelum ia dinyalakan, selepas seorang doktor gagal melakukan bedah siasat / Foto Hiasan

JAIPUR, 23 November - Seorang lelaki India tersedar di atas pembakaran mayat hanya beberapa saat sebelum ia dinyalakan, selepas seorang doktor gagal melakukan bedah siasat, menurut pegawai perubatan pada Sabtu.

Rohitash Kumar, 25, yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran, jatuh sakit dan dibawa ke sebuah hospital di Jhunjhunu, negeri Rajasthan di bahagian barat India pada Khamis.

Media India melaporkan, beliau mengalami sawan epilepsi dan seorang doktor mengisytiharkan beliau meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Namun, tanpa menjalankan bedah siasat yang diwajibkan untuk menentukan punca kematian, doktor menghantarnya ke bilik mayat, sebelum disiapkan untuk pembakaran mengikut adat Hindu.

D. Singh, Ketua Pegawai Perubatan hospital tersebut, memberitahu AFP bahawa seorang doktor telah "menyediakan laporan bedah siasat tanpa benar-benar menjalankan bedah siasat, dan mayat itu kemudian dihantar untuk pembakaran".

Singh menjelaskan "sejurus sebelum pembakaran dinyalakan, tubuh Rohitash mula menunjukkan pergerakan", sambil menambah "beliau masih hidup dan bernafas".

Kumar segera dikejarkan semula ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada hari Jumaat semasa menerima rawatan.

Pihak berkuasa telah menggantung perkhidmatan tiga orang doktor tersebut dan siasatan teleh dijalankan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN