BEIRUT, 23 November- Satu serangan udara oleh Israel di tengah Beirut membunuh sekurang-kurangnya 11 orang manakala 63 lagi cedera pada awal pagi Sabtu, menyebabkan sebuah bangunan kediaman runtuh ketika Israel meneruskan kempen udaranya terhadap Hizbullah.
Serangan tersebut diikuti dengan serangan lain di pinggir selatan Beirut selepas tentera Israel mengeluarkan arahan untuk mengosongkan kawasan tersebut.
Operasi menyelamat sedang dijalankan di lokasi, dengan sebuah jentolak digunakan untuk mengalihkan runtuhan bangunan lapan tingkat tersebut. Sebuah trak bomba dan penyelamat pertahanan awam turut berada di lokasi, sementara orang ramai berkumpul di sekitar kawasan berkenaan.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan(NNA) melaporkan bahawa Beirut "terjaga dari tidur dengan pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat", selepas jet Israel menyerang bangunan di kawasan perumahan kelas pertengahan, Basta.
NNA berkata jet Israel melancarkan enam peluru berpandu ke arah bangunan itu, menyebabkan kemusnahan besar pada bangunan-bangunan berdekatan.
Serangan tersebut "membunuh 11 orang dan mencederakan 63 yang lain", menurut kenyataan kementerian kesihatan Lubnan.
Serangan sebelum subuh di Basta tidak didahului dengan amaran pemindahan daripada tentera Israel. Serangan serupa yang dilakukan tanpa amaran di luar kawasan tradisional Hizbullah selalunya menyasarkan anggota berpangkat tinggi.
Israel dan Hizbullah masih belum mengeluarkan komen mengenai serangan itu.
Serangan kedua pula mengenai kawasan Hadath di pinggir selatan Beirut, yang merupakan kubu kuat Hizbullah.
Israel meningkatkan kempen menentang kumpulan yang disokong Iran itu sejak akhir September, menyasarkan kawasan di timur negara itu, selatan, dan selatan Beirut, sebelum menghantar tentera darat selepas hampir setahun pertukaran tembakan rentas sempadan yang terhad.
Menurut kementerian kesihatan Lebanon, sekurang-kurangnya 3,645 orang telah terbunuh sejak Oktober 2023, apabila Hizbullah memulakan pertempuran rentas sempadan dengan Israel sebagai solidariti dengan sekutunya, Hamas, dalam perang Gaza. Kebanyakan kematian berlaku sejak September tahun ini.-AFP