fb fb fb fb fb

Cyprus sedia hantar 200 tan makanan ke Gaza

Foto AFP

NICOSIA, 10 Mac- Sebanyak 200 tan bantuan makanan sedia dihantar dari Cyprus ke Gaza melalui jalan laut, kata badan bukan kerajaan (NGO) Sepanyol.

Jurucakap Open Arms, Laura Lanuza berkata penghantaran pertama di sepanjang koridor maritim itu, disokong Kesatuan Eropah (EU).

"Badan amal berkenaan telah bersedia untuk membawa bekalan tersebut. Ia bergantung kepada semua kebenaran dan permit. Kapal itu juga dipanggil Open Arms, boleh memulakan pelayaran hari ini atau esok," katanya kepada AFP di sini.

Kumpulan bantuan Sepanyol telah bekerjasama dengan badan amal 'World Central Kitchen' untuk menyediakan penghantaran pertolongan cemas melalui laluan laut yang diharapkan Suruhanjaya EU dibuka minggu ini.

Lanuza berkata pihak berkuasa Israel telah memeriksa kargo 200 tan yang membawa bahan makanan asas seperti beras dan tepung.

Keadaan yang teruk di Gaza dan sekatan akses darat telah menyebabkan beberapa negara menghantar makanan dan bantuan lain ke negara yang sedang bergolak itu.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM