fb fb fb fb fb

COVID-19: Jerman tawar vaksin berasaskan protein kepada penduduk

FOTO AFP


MUNICH,23 Februari
- Jerman bakal menawarkan vaksin Covid-19 berasaskan protein kepada penduduk negara itu bermula minggu ini.

Langkah itu dilaksanakan dengan harapan dapat mempengaruhi golongan individu yang masih ragu-ragu terhadap teknologi mRNA yang digunakan dalam vaksin konvensional.

Menteri Kesihatan Jerman, Karl Lauterbach berkata, kira-kira 1.4 juta dos vaksin Nuvaxovid keluaran syarikat bioteknologi, Novavax yang berpangkalan di Amerika Syarikat akan tiba di negara itu pada minggu ini.

Sejuta dos lagi dijangka tiba pada minggu seterusnya, dengan jumlah keseluruhan tempahan Jerman bagi tahun ini adalah sebanyak 34 juta dos.

Setakat ini, produk syarikat Novavax itu hanya digunakan di Indonesia dan Filipina.

Namun, vaksin itu dibenarkan untuk kegunaan di Kesatuan Eropah (EU) pada Disember tahun lalu.

Ketika ini, ia masih menunggu kebenaran di Amerika Syarikat berikutan wujudnya kebimbangan mengenai kapasiti pengeluaran syarikat tersebut.

Berbeza dengan vaksin mRNA oleh Pfizer dan Moderna atau vektor virus dihasilkan oleh AstraZeneca dan Johnson & Johnson ; Nuvaxovid adalah merupakan vaksin sub-unit protein.

Novavax menyatakan, produknya menunjukkan keberkesanan terhadap varian Delta dan Omicron terutamanya selepas dos penggalak diberikan dalam tempoh enam bulan setelah suntikan kedua vaksin.-AFP

Media Baharu