BOGOTA, 28 Januari- Colombia semalam mengerahkan dua pesawat tentera untuk membawa pulang warganya yang dideportasi dari Amerika Syarikat (AS), selepas terpaksa beralah dalam pertikaian sengit dengan Presiden Donald Trump berhubung isu deportasi.
Presiden Gustavo Petro pada Ahad menarik diri daripada potensi perang dagangan besar dengan AS selepas Trump mengancam untuk mengenakan sekatan dan tarif besar terhadap eksport Colombia kerana enggan menerima dua pesawat tentera AS yang membawa migran yang dihantar pulang.
Menurut Kementerian Luar Negeri Colombia, sebuah pesawat Tentera Udara Colombia berlepas dari Bogota petang semalam dengan membawa kakitangan perubatan menuju ke San Diego, AS untuk membawa pulang 110 rakyat Colombia. Tidak lama kemudian, satu lagi pesawat berlepas ke Houston, Texas.
Petro, seorang bekas gerila, menjadi pemimpin Amerika Latin pertama yang menentang rancangan Trump untuk penghantaran besar-besaran migran, dengan menegaskan bahawa Colombia hanya akan menerima warganya yang dihantar pulang menggunakan penerbangan awam dan tidak dilayan seperti penjenayah.
Bagaimanapun, pendirian Petro goyah selepas ancaman Trump untuk mengenakan tarif terhadap eksport Colombia, walaupun kedua-dua negara mempunyai perjanjian perdagangan bebas, serta menggantung permohonan visa rakyat Colombia ke AS.
Trump ketika di sebuah acara Republikan di Miami, berkata, “Amerika kini dihormati semula.”
Katanya lagi, “Kita sudah jelaskan kepada setiap negara bahawa mereka mesti menerima rakyat mereka semula. Jika tidak, mereka akan berdepan tarif ekonomi yang tinggi dan sekatan lain dengan segera.”
Petro pula di platform X menegaskan bahawa migran Colombia dibawa pulang tanpa gari, sambil menambah, “Dasar ini, martabat untuk migran yang dihantar pulang akan terpakai kepada semua negara.”
Rancangan Trump untuk deportasi besar-besaran migran dijangka mencetuskan ketegangan dengan kerajaan di Amerika Latin, tempat asal kebanyakan daripada kira-kira 11 juta migran tanpa dokumen di AS.
Sejak Trump memulakan tugasnya seminggu lalu, ribuan migran telah dihantar pulang ke Amerika Tengah dan Selatan, walaupun kebanyakannya berdasarkan perjanjian yang dimeterai sebelum beliau kembali berkuasa.
Konfrontasi Presiden Gustavo Petro dengan Donald Trump mencetuskan kontroversi di Colombia, yang merupakan salah satu sekutu rapat Amerika Syarikat (AS) di Amerika Latin, apabila ramai melihat tindakannya sebagai provokasi tidak bijak terhadap rakan dagang terbesar negara itu.
Bekas presiden kanan, Ivan Duque, menyifatkan tindakan Petro sebagai “satu bentuk ketidakbertanggungjawaban yang amat besar.”
Kemarahan turut disuarakan rakyat, termasuk Cristian Espinal, seorang pelajar yang terpaksa membatalkan temu janji visa di Kedutaan AS di Bogota akibat krisis tersebut. “Kelakuan Petro yang tergesa-gesa dan tidak bijak ini sangat mengecewakan,” katanya kepada AFP.
Trump telah menarik balik ancamannya untuk mengenakan tarif besar-besaran tetapi langkah pembekuan permohonan visa rakyat Colombia kekal sehingga pesawat pertama yang membawa pulang migran tiba di Colombia.
Walaupun pentadbiran AS sebelum ini secara rutin menghantar pulang migran tanpa dokumen, Trump berikrar untuk melaksanakan gelombang deportasi terbesar dalam sejarah.
Buat pertama kali, beliau menggunakan pesawat tentera bagi operasi tersebut, dengan satu pesawat telah mendarat di Guatemala minggu ini.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, cuba meredakan kebimbangan dengan menyatakan bahawa 4,000 migran yang dihantar pulang dari AS ke sempadan selatan dalam minggu pertama pentadbiran Trump bukanlah peningkatan ketara berbanding kadar biasa.
Menurut data kerajaan Mexico, lebih 190,000 orang dihantar pulang dari Januari hingga November 2024, bersamaan kira-kira 17,200 orang setiap bulan.
Sheinbaum juga sedang berusaha mengelak perang dagangan selepas Trump memperbaharui ancamannya untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap import dari Mexico dan Kanada jika kedua-dua negara gagal menghentikan aliran migran dan dadah ke AS.
Honduras pula menyeru satu mesyuarat tergempar pemimpin Komuniti Negara-negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC) di Tegucigalpa, Khamis ini, bagi membincangkan isu migrasi.- AFP