fb fb fb fb fb

China tegaskan tidak takut perang perdagangan

Foto Reuters

BEIJING, 16 April - China pada Rabu memberi amaran bahawa mereka "tidak takut" berdepan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan mengulangi gesaan supaya mengadakan dialog, selepas Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa terserah kepada Beijing untuk kembali ke meja rundingan.

"Jika AS benar-benar mahu menyelesaikan isu ini melalui dialog dan rundingan, mereka sepatutnya berhenti mengenakan tekanan melampau, berhenti mengugut dan memeras ugut dan berbincang dengan China atas dasar kesaksamaan, saling menghormati dan manfaat bersama," kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian.

Trump pada asalnya mengenakan tarif ke atas import dari China atas dakwaan penglibatan negara itu dalam rantaian bekalan fentanyl, dan baru-baru ini telah meningkatkan kadar tarif dengan ketara atas amalan perdagangan yang dianggap tidak adil oleh Washington.

Tahun ini, Trump telah mengenakan tarif tambahan sebanyak 145 peratus ke atas banyak barangan dari China, di samping tarif-tarif sedia ada yang diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu.

Ini termasuk tarif sebanyak 20 peratus ke atas fentanyl dan dadah haram lain, serta 125 peratus lagi atas amalan perdagangan.

Namun, pentadbiran Trump telah memberikan pengecualian sementara terhadap beberapa produk teknologi seperti telefon pintar dan komputer riba daripada tarif terbaru ini.

Pada Selasa, Presiden AS itu berkata “sekarang bola berada di gelanggang China. China perlu membuat perjanjian dengan kami,” menurut kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbar Karoline Leavitt dalam satu taklimat.

Beijing membalas pada Rabu dengan menyatakan bahawa “AS yang memulakan perang tarif ini.”

"Pendirian China sangat jelas. Tiada siapa yang akan menang dalam perang tarif atau perang perdagangan,” kata Lin. “China tidak mahu berperang, tetapi China juga tidak takut untuk berperang." - AFP

TETITIA YUSOFF