fb fb fb fb fb

China serah maklumat, dokumen siasatan kabel Laut Baltik

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning / Foto Reuters

BEIJING, 23 Disember – China mengesahkan telah menyerahkan maklumat dan dokumen penting kepada siasatan bersama mengenai dua kabel dasar laut di Laut Baltik yang terputus.

Dalam langkah lanjut, China turut menjemput Jerman, Sweden, Finland, dan Denmark untuk menyertai serta menyelesaikan siasatan tersebut, menurut kenyataan Kementerian Luar China pada Isnin.

Jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning, mengulas isu itu dalam satu taklimat media.

Beliau menafikan dakwaan Financial Times yang mengatakan bahawa Sweden mengkritik China kerana enggan memberikan akses penuh walaupun siasatan terbuka dijalankan.

Sweden juga mendakwa pendakwa raya awamnya tidak dibenarkan menaiki kapal Yi Peng 3, yang menjadi subjek siasatan.

Menurut Pengawal Pantai Sweden, kapal pengangkut besar milik China itu kembali bergerak selepas lebih sebulan berada di perairan Denmark.

Minggu lalu, China membenarkan wakil dari Jerman, Sweden, Finland, dan Denmark menaiki kapal tersebut untuk tujuan siasatan.

"Bagi menyokong siasatan, Yi Peng 3 telah dihentikan operasinya untuk tempoh yang lama.

Namun, demi menjaga kesihatan fizikal dan mental anak kapal, syarikat pemilik kapal telah membuat keputusan untuk menyambung semula pelayarannya selepas penilaian dan perundingan dengan pihak berkaitan," jelas Mao.

Beliau turut menegaskan bahawa China telah memaklumkan semua negara yang berkaitan lebih awal dan komited untuk mengekalkan komunikasi serta kerjasama dalam isu ini.

Yi Peng 3 disiasat susulan insiden pada November yang melibatkan kerosakan dua kabel gentian optik.

Kabel pertama menghubungkan Finland dengan Jerman, manakala kabel kedua menghubungkan Sweden dengan Lithuania.

Kerosakan tersebut mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya sabotaj dan ancaman terhadap keselamatan infrastruktur kritikal di rantau itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN