fb fb fb fb fb

China sedia jalin hubungan dua hala dengan AS – Diplomat

Timbalan Menteri Luar Negeri China, Ma Zhaoxu/ REUTERS

BEIJING, 29 Ogos  – China sedia untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam mencari jalan terbaik bagi membina hubungan dua hala dalam era baharu, kata seorang Diplomat Kanan China.

Timbalan Menteri Luar Negeri China, Ma Zhaoxu, menekankan kepentingan hubungan China-Amerika Syarikat dalam satu sidang media sempena sambutan Hari Kemenangan (V-Day) di Beijing.

“Presiden Xi Jinping menegaskan bahawa China dan Amerika Syarikat berkongsi kepentingan bersama yang luas serta ruang kerjasama yang besar.

"Kedua-dua negara boleh menjadi sahabat dan harus bekerjasama dalam melaksanakan usaha-usaha hebat yang bermanfaat bukan sahaja kepada kedua-dua negara, malah kepada seluruh dunia,” katanya.

Ma turut menegaskan komitmen China terhadap prinsip saling menghormati, hidup bersama secara aman, dan kerjasama yang saling menguntungkan dalam hubungan dengan Washington.

“Pada masa yang sama, kami akan tetap mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan, dan kepentingan pembangunan China.

"Tekanan atau paksaan terhadap China bukanlah pendekatan yang tepat dan tidak akan berhasil. Usaha untuk menyekat pembangunan China atau menggagalkan kebangkitan semula bangsa China pasti akan gagal,” tegasnya.

Tambahnya,China bersedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam melaksanakan konsensus penting yang dicapai oleh kedua-dua ketua negara, mengekalkan komunikasi, mengurus perbezaan, memperluas kerjasama dan terus meneroka jalan terbaik bagi memastikan hubungan yang harmoni antara dua kuasa besar dunia itu dalam era baharu.- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN