GAZA, 15 Oktober - Menteri Luar China, Wang Yi mengkritik operasi Israel di Gaza, menyifatkan tindakan itu sebagai "di luar skop pertahanan diri.
Memetik laporan Al Jazeera, China menggesa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk "menghentikan hukuman kolektif"terhadap rakyat Palestin yang sedang dikepung oleh zionis Israel.
Wang membuat komen itu semasa panggilan dengan rakan sejawatannya dari Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud pada Sabtu, menurut Kementerian Luar China.
Wang berkata, "Semua pihak tidak boleh mengambil sebarang tindakan untuk memburukkan lagi keadaan dan perlu kembali ke meja rundingan secepat mungkin."
Serangan udara dan darat tanpa henti oleh tentera Israel telah meragut nyawa ribuan orang awam Palestin yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak selain mencederakan ribuan lagi.
Selain itu, serangan itu juga telah memusnahkan infrastruktur kritikal termasuk hospital dan sekolah, kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bantuan kediaman dan tempat ibadat.