fb fb fb fb fb

China meneruskan pengeluaran visa untuk warga Jepun

TOKYO, 29 Januari - Kedutaan China di Tokyo mengumumkan hari ini, bahawa ia akan meneruskan pengeluaran visa kepada warga Jepun.

Tindakan itu menamatkan langkah membalas dendam terhadap keputusan Jepun yang memerlukan ujian Covid bagi pelancong yang tiba dari tanah besar China, di mana jumlah jangkitan semakin meningkat.


(Foto Reuters)

"Mulai hari ini, Kedutaan dan Pejabat Konsulat Jeneral Republik Rakyat China akan meneruskan pengeluaran visa biasa untuk warga Jepun," menurut notis dalam talian ringkas yang dikeluarkan oleh kedutaan tersebut tanpa mengulas lebih lanjut.

China berhenti mengeluarkan visa kepada warga Jepun mulai 10 Januari selepas Tokyo mula mewajibkan orang ramai yang tiba dari tanah besar untuk membuat ujian sebelum perjalanan dan semasa mendarat.

China juga menggantung pengeluaran visa kepada warga Korea Selatan atas sebab yang sama awal bulan ini. Kedutaan China di Korea Selatan belum menarik balik penggantungan itu setakat hari ini.

Jepun masih mewajibkan mereka yang melakukan penerbangan terus dari tanah besar untuk menunjukkan bukti keputusan ujian negatif daripada sampel yang diambil tidak lebih daripada 72 jam sebelum meninggalkan China.

Mereka juga masih tertakluk kepada ujian apabila tiba di Jepun.

Pada awal Januari, Beijing menggelar langkah Tokyo sebagai "diskriminasi", walaupun Jepun berpendapat ia perlu memandangkan penularan jangkitan di China. - AFP

Media Baharu