fb fb fb fb fb

China lancar misi pertama kutip sampel asteroid

Kapal angkasa Tianwen-2 di Pusat Pelancaran Satelit Xichang/ REUTERS

BEIJING, 29 Mei- China melancarkan misi pertamanya untuk mengutip sampel daripada asteroid berdekatan Bumi menerusi pelancaran kapal angkasa Tianwen-2.

Pelancaran itu dijangka menjadikan China negara ketiga di dunia berjaya membawa pulang batuan asteroid belum tercemar.

Roket Long March 3B milik China berlepas kira-kira pukul 1.31 pagi waktu tempatan dari Pusat Pelancaran Satelit Xichang membawa kapal angkasa Tianwen-2 yang dijadual menghampiri asteroid kecil berhampiran Bumi yang dinamakan 469219 Kamoʻoalewa kira-kira 10 juta batu dari Bumi.

Tianwen-2 dijangka tiba di asteroid tersebut pada Julai 2026. Ia akan menghantar kapsul dengan sampel batuan untuk dibawa pulang ke Bumi dan dijangka mendarat pada November 2027.

Misi itu merupakan satu lagi pencapaian dalam program angkasa lepas China yang berkembang pesat, menyusuli kejayaan-kejayaan sebelum ini termasuk mendaratkan robot di bahagian jauh bulan.

Selain itu, negara tembok besar berkenaan turut mengendalikan stesen angkasa sendiri yang mengorbit Bumi, serta pelaburan besar dalam rancangan menghantar manusia ke permukaan bulan menjelang tahun 2030.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI