SEOUL, 29 Mei- Korea Selatan memulakan tempoh pengundian awal selama dua hari pada Khamis bagi pilihan raya presiden tergempar untuk memilih pemimpin baharu susulan pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol daripada jawatan.
Pemecatan tersebut dilakukan ekoran tindakan kontroversi pemimpin itu mengisytiharkan undang-undang tentera semasa ucapannya pada Disember 2024.
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan, seramai 2,328,108 orang atau 5.24 peratus daripada jumlah pengundi layak telah keluar mengundi setakat pukul 10.00 pagi waktu tempatan.
Jumlah itu mencatatkan peratusan pengundian awal tertinggi bagi tempoh sama, mengatasi 3.64 peratus semasa pilihan raya presiden tahun 2022.
Sebanyak 3,568 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara itu bagi membolehkan rakyat Korea Selatan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 29 dan 30 Mei.
Hari pengundian rasmi akan berlangsung pada 3 Jun dan diisytiharkan sebagai cuti umum, dengan tempoh pengundian bermula dari pukul 6.00 pagi hingga 8.00 malam waktu tempatan.
Keputusan awal dijangka mula diumumkan pada malam sama atau awal pagi keesokan harinya.- Reuters