NEW YORK, 14 Ogos- Wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong mengutuk sekeras-kerasnya serangan dahsyat Israel ke atas sebuah sekolah di Gaza minggu lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 100 rakyat Palestin dan mencederakan puluhan yang lagi.
Pada mesyuarat tergempar PBB itu, Fu mengulangi pendirian bahawa orang awam dan infrastruktur awam tidak boleh menjadi sasaran operasi ketenteraan seperti ditetapkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Kami tidak melihat tanda-tanda yang boleh dipercayai mengenai komitmen Israel terhadap gencatan senjata, sebaliknya, terdapat peningkatan berterusan operasi ketenteraan dan peningkatan korban awam.. sebagai pembekal senjata terbesar, Amerika Syarikat (AS) mempunyai pengaruh yang ketara ke atas Israel.
"Kami berharap AS akan menunjukkan tindakan yang ikhlas dan bertanggungjawab untuk mendesak Israel menghentikan operasi ketenteraannya dengan segera.. dan hentikan pembunuhan orang awam," kata Fu di sini.
China menggesa Israel untuk memenuhi kewajipannya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan membuka semua lintasan sempadan Palestin.
Ini termasuk memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan yang cepat, berskala besar dan selamat.
China juga menyatakan kebimbangan serius terhadap laporan penderaan seksual terhadap tahanan Palestin oleh askar Israel dan telah menggesa siasatan lanjut terhadap kes itu.
"China menggesa Israel untuk segera menghentikan semua aktiviti penempatan, membendung keganasan yang semakin meningkat dalam kalangan peneroka, dan berhenti menjejaskan asas penyelesaian kedua-dua negara," katanya.
Fu juga berkata bahawa kenyataan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mengenai "rakyat Gaza yang kelaparan" adalah sama sekali tidak boleh diterima.
Sebelum ini, Smotrich yang terkenal dengan idea bermusuhannya terhadap rakyat Palestin berkata pada sidang akhbar Israel Hayom bahawa menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah wajar daripada segi moral.
"Kelaparan tidak boleh dipersenjatai, isu kemanusiaan tidak boleh dipolitikkan dan kehidupan orang awam tidak sepatutnya menjadi tawar-menawar dalam rundingan," kata Fu.- REUTERS