(Nancy Pelosi bercakap semasa sidang akhbar di Kedutaan AS di Tokyo pada akhir jelajah Asianya,
termasuk lawatan ke Taiwan/AFP)
BEIJING, 5 Ogos- Kementerian Luar China mengumumkan sekatan terhadap Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat, Nancy Pelosi susulan lawatannya ke Taiwan minggu ini yang mencetuskan kemarahan Beijing.
Kementerian itu menegaskan bahawa Pelosi dengan serius campur tangan dalam hal ehwal dalaman China dan menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayah China.
"Beijing akan mengenakan sekatan terhadap Pelosi dan keluarga terdekatnya", kata Kementerian Luar China tanpa memberikan butiran lanjut.
China telah mengumumkan sekatan terhadap beberapa pegawai AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana bertindak menentang apa yang dilihatnya sebagai kepentingan terasnya dan mempersoalkan isu hak asasi manusia di Hong Kong dan wilayah barat laut Xinjiang.
(Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat, Nancy Pelosi melawat Parlimen Jepun di Tokyo, Jepun/REUTERS)
Pada Mac tahun ini Beijing berkata ia mengenakan sekatan visa terhadap beberapa pegawai AS yang didakwa "mencipta pembohongan mengenai isu hak asasi manusia membabitkan China".
Bekas setiausaha negara AS, Mike Pompeo dan Peter Navarro penasihat perdagangan kepada bekas Presiden Donald Trump -- antara mereka yang dilanda gelombang sekatan awal dan dilarang memasuki China serta menjalankan perniagaan dengan entiti China. -AFP