BEIJING, 1 Ogos - Rakyat China digalakkan untuk menyertai tugas mengintip balas, termasuk mewujudkan saluran untuk individu melaporkan aktiviti yang mencurigakan, kata Kementerian Keselamatan Negara.
Ganjaran perlu diberikan bagi yang menyertai tugas itu.
"Satu sistem yang menjadikannya 'biasa' bagi orang ramai untuk mengambil bahagian dalam pengintipan balas mesti diwujudkan, tulis Kementerian Keselamatan Negara menerusi catatan akaun WeChatnya.
Gesaan untuk mempopularkan kerja antipengintipan dalam kalangan masyarakat, berikutan perluasan undang-undang antipengintipan China yang berkuat kuasa pada Julai.
Undang-undang yang melarang pemindahan maklumat berkaitan keselamatan negara dan kepentingan yang tidak dinyatakannya, membimbangkan Amerika Syarikat.
Undang-undang yang disemak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan anti-pengintipan untuk mendapatkan akses kepada data, peralatan elektronik dan maklumat mengenai harta peribadi.
(FOTO REUTERS)
Menteri Keselamatan Negara Chen Yixin menerusi artikel majalah undang-undang China berkata, keselamatan politik menjadi keutamaan utama keselamatan negara, dan "teras" keselamatan politik ialah keselamatan sistem politik China.
"Yang paling asas adalah untuk menjaga kepimpinan dan kedudukan pemerintahan Parti Komunis China dan sistem sosialis dengan ciri-ciri Cina," kata Chen.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China telah menangkap dan menahan berpuluh-puluh warganya dan warga asing kerana disyaki mengintip, termasuk seorang eksekutif syarikat pengeluar ubat Jepun Astellas Pharma pada Mac lalu.
Manakala, wartawan Australia Cheng Lei, yang dituduh oleh China kerana memberikan rahsia negara kepada negara lain, telah ditahan sejak September 2020. -REUTERS