fb fb fb fb fb

China galak 'penyatuan semula' kepada Taiwan

Bendera Taiwan berkibar di luar Dataran Memorial Sun Yat-Sen di Taipei/REUTERS

TAIPEI, 2 Januari- Ketua Pejabat Hal Ehwal Taiwan China pada Selasa menyeru rakyat Taiwan untuk mempromosikan proses "penyatuan semula secara aman."

Mesej Song Tao, yang disampaikan kurang dua minggu sebelum Taiwan mengadakan pilihan raya itu berikutan kenyataan Presiden Xi Jinping dalam ucapan Malam Tahun Barunya berkenaan "penyatuan semula" China dengan Taiwan.

"Tanah air akhirnya akan disatukan semula, dan ia pasti akan disatukan semula," kata Song dalam mesej Tahun Barunya.

Perkara itu merupakan hasrat dan misi bersama orang ramai di kedua-dua belah Selat Taiwan, tambah Song.

Rakyat Taiwan harus "menggalakkan hubungan rentas selat untuk kembali ke landasan yang betul dalam pembangunan aman, dan menggalakkan proses penyatuan semula tanah air secara aman", katanya.

Bagaimanapun kerajaan Taiwan menolak tuntutan kedaulatan China. Kedua-dua Parti Progresif Demokratik yang memerintah dan parti pembangkang terbesar, Kuomintang, berkata hanya rakyat Taiwan boleh menentukan masa depan mereka.

China menawarkan model autonomi "satu negara, dua sistem" kepada Taiwan, tetapi tiada parti Taiwan menyokong idea itu.

Namun Song mengulangi sokongan China untuk "satu negara, dua sistem" dan penentangan terhadap kemerdekaan rasmi Taiwan atau "campur tangan kuasa luar".

China masih meneruskan tekanan ketenteraan di sekitar pulau itu selain menamatkan beberapa pemotongan tarif dan mengancam langkah ekonomi berikutan pilihan raya yang semakin hampir.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI