fb fb fb fb fb

China desak Guatemala ‘buat pilihan tepat’ berhubung isu Taiwan

Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata demikian dalam sidang media hari ini/Reuters

BEIJING, 6 Jun- China menggesa kerajaan Guatemala supaya membuat pilihan yang tepat, berkaitan hubungan diplomatik bersama Taiwan.

Perkara tersebut dimaklumkan Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian dalam sidang media rutin kementerian pada Jumaat.

Guatemala, salah satu daripada beberapa sekutu diplomatik yang masih mengekalkan hubungan rasmi dengan Taiwan, mengulangi sokongan terhadap pulau itu, Khamis lalu.

Sokongan itu diterjemah sempena lawatan Presiden Bernardo Arevalo, yang menegaskan bahawa rakyat negaranya akan terus “berjalan bersama saudara-saudara di Taiwan”.

Jian mengecam tindakan pihak berkuasa Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah Taiwan, yang disifatkannya sebagai cubaan untuk memanipulasi politik, melalui laluan ‘sekutu diplomatik’.

Guatemala kini merupakan antara 12 negara yang masih mempunyai hubungan rasmi dengan Taiwan, negara yang dituntut Beijing sebagai sebahagian dari wilayahnya.

China kini giat memperhebat kempen diplomatik bagi memujuk negara-negara tersebut supaya beralih menyokong dasar ‘Satu China’.

Taiwan pula menegaskan bahawa negara itu mempunyai hak sepenuhnya untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara dan menyatakan bahawa Beijing tidak berhak untuk campur tangan dalam perkara berkenaan.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM