BEIJING, 24 Julai – China dan Kesatuan Eropah (EU) disaran memperluas hubungan dagangan serta pelaburan bagi meningkatkan daya tahan ekonomi dan menangani ketidaktentuan global, kata Perdana Menteri China, Li Qiang.
Bercakap pada Simposium Pemimpin Perniagaan China-EU di Beijing, Li menekankan kerjasama kekal sebagai pilihan terbaik, sambil menyifatkan hubungan dagangan dua hala yang terjalin sejak 50 tahun lalu sebagai kukuh dan dinamik.
Beliau berkata, dalam menghadapi amalan perlindungan dan unilateralisme, China dan EU boleh memainkan peranan penting memacu globalisasi serta menstabilkan rantaian bekalan dunia, menerusi komitmen terhadap perdagangan bebas dan multilateralisme.
Li mencadangkan agar kedua-dua pihak memfokuskan kepada sektor perkhidmatan, inovasi teknologi, ekonomi hijau dan kerjasama pihak ketiga.
Beliau turut menggesa syarikat kedua-dua blok bersikap terbuka, memperdalam pelaburan industri, penyelidikan bersama dan peluasan pasaran.
Katanya, China komited membuka pasaran secara lebih meluas, memendekkan senarai negatif pelaburan asing, memperkukuh perlindungan harta intelek dan memastikan persaingan yang adil.
Dalam ucapannya, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menyifatkan China sebagai kuasa industri dan pemacu inovasi, dan berkata EU bersedia memanfaatkan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik untuk memperkukuh kerjasama jangka panjang.
EU, katanya, akan terus mempererat kerjasama dagangan dan pelaburan, menyokong kestabilan rantaian bekalan, dan mencipta persekitaran mesra perniagaan.
“EU tidak berniat untuk memutuskan hubungan dengan China dan mengalu-alukan pelaburan dari syarikat China,” tegasnya. -REUTERS