LONDON, 18 April - Chelsea menepati ramalan untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA.
Skuad kendalian Thomas Tuchel bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum dapat menjinakkan Crystal Palace 2-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Wembley.
Tuchel memuji fokus dan ketenangan anak buahnya yang berhadapan tentangan hebat daripada pasukan lawan.
"Saya fikir persembahan sangat terkawal dan sangat serius. Ia sukar, lawan menukar sistem dua kali, tetapi kami menjaga serangan balas mereka.
"Ia sangat mencabar dari segi fizikal dan mental. Kami adalah pasukan yang paling banyak minit di Eropah," kata Tuchel.
Chelsea terpaksa menunggu separuh masa kedua untuk memecah kebuntuan setelah aksi babak pertama yang sengit berakhir tanpa jaringan.
Gol pertama diperoleh menerusi pemain gantian, Ruben Loftus-Cheek pada minit ke-65.
Dia dibawa masuk bagi menggantikan Mateo Kovacic yang mengalami kecederaan.
Mason Mount pula memastikan kemenangan tanpa keraguan menerusi penyudah yang tenang dan kemas menewaskan penjaga gawang Palace, Jack Butland pada minit ke-76.
(Mason Mount meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan bola sepak separuh akhir Piala FA Inggeris antara Chelsea dan Crystal Palace di Stadium Wembley/AFP)
Chelsea akan bertemu Liverpool dalam perlawanan akhir di Wembley pada 14 Mei.
Ia merupakan penampilan ketiga berturut-turut The Blues dalam perlawanan akhir Piala FA. -AFP