fb fb fb fb fb

Tenaga nuklear sebagai alternatif, cerita fiksyen pembangkang-Kerajaan Australia

SYDNEY, 13 Disember- Tindakan pihak pembangkang Australia yang mencadangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai alternatif kepada tenaga boleh diperbaharui, didakwa kerajaan Australia sebagai perkara tidak masuk akal.

Cadangan berkenaan muncul menjelang pilihan raya negara itu yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya Mei 2025.

Ketua Parti Liberal, Peter Dutton, menyatakan bahawa pendekatan tersebut akan memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan menyiapkan negara untuk masa depan selain harganya lebih murah dan dapat mengurangkan pelepasan karbon.

"Ia akan memastikan lampu terus menyala dan memberikan asas kukuh untuk generasi akan datang," katanya ketika mendedahkan anggaran kos pelan tenaga nuklear pembangkang itu.

Menurut laporan agensi sains kebangsaan Australia, CSIRO minggu ini, kos tenaga nuklear dianggarkan 50 peratus lebih tinggi berbanding tenaga boleh diperbaharui, dan pembinaan loji tenaga nuklear akan mengambil masa sekurang-kurangnya 15 tahun.

Cadangan pembangkang itu juga memerlukan pembatalan larangan tenaga nuklear yang telah berkuat kuasa selama 26 tahun di Australia.

Pelan tenaga nuklear itu dianggarkan menelan belanja kira-kira Aus$331 bilion (AS$210 bilion) dalam tempoh 25 tahun, dengan sumbangan sekitar 38 peratus daripada keseluruhan bekalan tenaga negara menjelang 2050.

Dalam tempoh itu, sumber tenaga angin dan solar dijangka menyumbang 50 peratus.

Bagaimanapun, pelan tersebut bergantung kepada sejauh mana usaha mengekalkan operasi stesen janakuasa arang batu lebih lama daripada yang dirancang, meskipun syarikat tenaga sudah bersedia untuk menutupnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Anthony Albanese mengkritik anggaran kos pembangkang, menyifatkannya sebagai tidak realistik.

"Kebenarannya ialah tenaga boleh diperbaharui merupakan bentuk tenaga baharu yang paling murah.

"Sains telah membuktikan perkara ini," katanya kepada penyiar ABC.

Ketua Eksekutif Yayasan Pemuliharaan Australia, Kelly O'Shanassy, turut mengecam cadangan itu dengan mengatakan model nuklear yang dicadangkan penuh kelemahan.

"Dengan sebahagian kecil kos tenaga nuklear, kita boleh memasang panel solar di setiap rumah di negara ini," katanya.

O'Shanassy juga menegaskan bahawa tempoh 20 tahun yang diperlukan untuk pembinaan reaktor terlalu lama dalam menangani krisis iklim yang semakin memburuk.

"Kita tidak punya dua dekad untuk disia-siakan," katanya.

Dalam pada itu, menerusi tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh badan pemikir, Institut Lowy tahun ini, pendirian rakyat Australia terhadap tenaga nuklear telah berubah secara ketara, dengan enam daripada 10 orang menyokong beberapa bentuk tenaga nuklear.

Namun, perdebatan ideologi yang dikenali sebagai perang iklim terus membayangi politik Australia selama sedekad, menggagalkan pelbagai usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Pada 2022, lebih 30 peratus tenaga elektrik Australia dijana daripada sumber solar dan angin.

Negara itu juga telah menyatakan komitmen untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD