fb fb fb fb fb

Cacar monyet: “Terlalu awal dipanggil wabak”

(FOTO AFP)

PARIS, 25 Mei- Meskipun terlalu awal untuk menyatakan cacar monyet sebagai wabak ketika kes yang dilaporkan semakin bertambah sejak akhir-akhir ini, situasi itu perlu dilihat dan ditangani sebagai satu amaran.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Institut Kesihatan Global Universiti Geneva, Antoine Flahault.  

Soalan: Kes semakin meningkat di Amerika Utara dan Eropah: Boleh dikategorikan sebagai epidemik/wabak?

Jawapan: Kita melihat situasi itu sebagai fenomena luar biasa, tetapi masih sukar untuk mengetahui sama ada akan menular sehingga menjadi epidemik atau penyebaran menjadi lebih terkawal. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, bilangan kes meningkat dua kali ganda setiap tempoh tiga atau empat hari, menandakan pertumbuhan yang cepat gelombang wabak.

Bagaimanapun, situasi itu boleh dipersoalkan sama ada liputan media semasa berhubung fenomena itu telah menggalakkan pesakit untuk berunding dengan doktor bagi membincangkan diagnosis penyakit dialami serta memaklumkan kes yang dikesan. Justeru agak awal untuk bercakap tentang wabak tersebut, tetapi keadaan permulaan wabak dilihat hampir sama dengan situasi semasa.

Soalan: Adakan penularan penyakit mengejutkan atau membimbangkan?

Jawapan: Kemunculan fenomena ini di luar Afrika, harus menyedarkan kita supaya lebih berhati-hati. Ia akan menjadi lebih berkesan jika perhatian dalam aspek kesihatan diberi penekakan seterusnya mengurangkan kesan aspek sosial dan ekonomi; mengasingkan beberapa kes semasa dalam tempoh tiga minggu dan mewajibkan kuarantin bagi kes-kes yang mencurigakan.

Sebenarnya, ketika ini kami berusaha untuk merungkai ke semua rantaian penularan kerana kami hanya mempunyai beberapa kes dan kami tidak menunggu sehingga kes meningkat dengan pengetahuan mengenai penyakit, rawatan dan vaksin yang terhad.

Kita tahu, selepas 50 tahun pengalaman di Afrika, virus ini memerlukan “tindak balas” yang kuat antara manusia dengan seseorang yang dijangkiti sebelum jangkitan dan penularan berlaku.


(Gambar oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit ini dirakam pada tahun 1997 ketika siasatan
penularan penyakit cacar monyet di Republik Demokratik Congo/Fail AFP)

Soalan: Adakah wujud risiko seperti COVID-19 yang menjadi pandemik global?

Jawapan: Pada peringkat ini, kami tidak dapat menolak sebarang senario termasuk senario pandemik yang tidak boleh sepenuhnya diketepikan.

Setakat ini, tiada penularan jangkitan lebih daripada enam orang telah dilaporkan. Kadar penularan di Afrika sentiasa bawah 1, iaitu tanpa potensi wabak.

Keadaan semasa mungkin disebabkan jangkitan manusia ke manusia berlaku, kesan penyesuaian virus selain mobiliti manusia yang tinggal berhampiran.

Pandemik HIV/AIDS juga bermula dengan ‘jangkitan’ dalam kalangan masyarakat tertentu, khususnya komuniti homoseksual lelaki dan individu yang bertukar jarum suntikan.

Susulan itu kes terus menular kepada kumpulan komuniti atau penduduk lain, sama ada melalui pemindahan darah pesakit, pekerja seks dan kemudian pasangan heteroseksual serta bayi baru lahir yang ibunya dijangkiti penyakit.

Bagaimanapun, buat masa ini tidak ada bukti menunjukkan bahawa virus cacar monyet boleh dipindahkan melalui hubungan seks.  Kelihatan ia lebih banyak berjangkit melalui sentuhan rapat dalam tempoh lama dengan orang yang dijangkiti mengalami lepuh pada kulit mereka.

Dalam kes ini, tiada ada alasan jangkitan terhad kepada komuniti homoseksual. Kumpulan penduduk lain kemudiannya boleh terjejas, khususnya kanak-kanak dan pasangan heteroseksual. -AFP

Media Baharu