SYDNEY, 29 Januari- Mahkamah Australia pada Rabu telah mensabitkan kesalahan terhadap 14 ahli kumpulan kulus agama atas tuduhan pembunuhan tanpa niat (manslaughter) berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang menghidap diabetes selepas dinafikan insulin yang boleh menyelamatkan nyawanya.
Bapa dan ibu Elizabeth Struhs, serta pemimpin agama kumpulan Saints, termasuk dalam mereka yang didapati bersalah atas kematiannya pada Januari 2022 selepas perbicaraan tanpa juri di Mahkamah Agung Queensland.
Kumpulan agama di bandar Toowoomba, Queensland itu berpegang kepada kepercayaan asas terhadap kuasa penyembuhan Tuhan, tanpa sebarang keperluan kepada rawatan atau penjagaan perubatan, kata Hakim Martin Burns dalam keputusan bertulisnya.
Kanak-kanak itu meninggal dunia akibat ketoasidosis, komplikasi serius akibat diabetes selepas ubat insulinnya dihentikan selama beberapa hari, menurut keterangan mahkamah.
"Elizabeth Rose Struhs adalah seorang kanak-kanak yang ceria dan gembira," kata hakim.
Dia dijaga dengan penuh kasih sayang dalam hampir semua aspek oleh ibu bapanya dan sangat disayangi oleh ahli kumpulan agama itu, tambahnya.
Namun, dia telah dinafikan satu-satunya perkara yang sudah pasti boleh menyelamatkan nyawanya iaitu insulin.
Bapa kanak-kanak itu, Jason Struhs, memberitahu polis bahawa pada awalnya anaknya masih sihat, riang melompat-lompat dan bermain, tetapi dalam beberapa hari berikutnya, dia semakin lemah dan lemah, menurut dokumen mahkamah.
Bapa dan ibu kanak-kanak itu, Kerrie Struhs, didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan tanpa niat kerana mengabaikan tanggungjawab menjaga anak mereka, "menunjukkan kesalahan moral yang besar dan keengganan menghargai nyawa manusia," kata hakim.
Kesemua tertuduh lain, termasuk pemimpin gereja Brendan Stevens, didapati bersalah kerana dengan sengaja menggalakkan bapa kanak-kanak itu untuk menghentikan rawatan insulinnya.
Stevens dan bapa kanak-kanak malang itu bagaimanapun didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh kerana tidak dapat dibuktikan bahawa mereka menyedari tindakan mereka mungkin membawa kepada kematian kanak-kanak itu, berdasarkan keadaan minda mereka ketika itu, jelas hakim.
Tiada seorang pun daripada tertuduh yang menerima khidmat peguam sepanjang perbicaraan atau membuat sebarang pengakuan terhadap tuduhan mereka. Hakim telah memasukkan pengakuan tidak bersalah bagi pihak mereka.-AFP