LONDON, 11 Julai – Penyanyi R&B terkenal Amerika Syarikat, Chris Brown, pada Jumaat mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan selepas didakwa menyerang seorang penerbit muzik dengan sebotol minuman di sebuah kelab malam di London dua tahun lalu.
Brown, 36, sebelum ini turut menafikan tuduhan yang lebih serius iaitu cubaan untuk menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, Abraham Diaw, dalam serangan yang berlaku pada tahun 2023.
Pada prosiding di Mahkamah Southwark Crown, Brown hanya mengesahkan identitinya dan membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan tubuh badan serta memiliki senjata berbahaya di tempat awam.
Rakan tertuduh, Omololu Akinlolu, 38, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan, sebelum ini menafikan tuduhan cubaan menyebabkan kecederaan parah.
Perbicaraan kes kedua-dua tertuduh dijadualkan bermula pada 26 Oktober 2026.
Brown, pemenang dua Anugerah Grammy dan terkenal dengan lagu seperti 'Loyal', 'Run It' dan 'Under the Influence', dibebaskan dengan ikat jamin pada Mei lalu selepas membayar jaminan keselamatan sebanyak 5 juta euro bagi membolehkannya meneruskan konsert jelajah 'Breezy Bowl XX'.
Beliau ditahan polis di sebuah hotel di Manchester, pada Mei lalu dan kali pertama kembali ke Britain sejak insiden kelab malam tersebut. -REUTERS