fb fb fb fb fb

BRICS gesa tubuh zon bebas nuklear di Asia Barat

Foto Hiasan

BUENOS AIRES, 25 Jun - Negara-negara BRICS menggesa penubuhan zon bebas senjata nuklear dan senjata pemusnah lain di Asia Barat.

Ia selari komitmennya yang mempromosikan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta menggalakkan diplomasi dan dialog aman.

Menurut satu kenyataan bersama diterbitkan Kementerian Luar Brazil, penubuhan zon berkenaan berpandukan prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Kami sekali lagi menegaskan keperluan untuk mewujudkan zon bebas senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran lain di Asia Barat selaras dengan resolusi antarabangsa yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

Negara-negara BRICS turut menyatakan bahawa serangan Israel ke atas Iran bermula 13 Jun lalu adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.

“Dalam menghadapi peningkatan ketegangan yang membawa kesan tidak menentu terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa serta ekonomi global, kami menekankan keperluan mendesak untuk memutuskan kitaran keganasan dan mengembalikan keamanan.

“Kami menggesa semua pihak supaya terlibat melalui saluran sedia ada bagi dialog dan diplomasi ke arah meredakan keadaan dan menyelesaikan perbezaan secara aman,” kata kenyataan itu.

Negara anggota BRICS turut menegaskan, nyawa orang awam, infrastruktur awam serta kemudahan nuklear aman mesti dilindungi selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Langkah-langkah keselamatan, perlindungan dan kawal selia nuklear mesti sentiasa dipatuhi, termasuk dalam konflik bersenjata bagi melindungi manusia dan alam sekitar daripada kemudaratan. 

"Sehubungan itu, kami mengulangi sokongan terhadap inisiatif diplomatik untuk menangani cabaran serantau,” menurut kenyataan itu. 

KHAIRUL AMRI BIN YASIN