BEIJING, 25 Jun— Lebih 80,000 penduduk terpaksa dipindahkan akibat banjir besar yang melanda wilayah Guizhou di barat daya China, menurut media rasmi negara itu pada Rabu.
Agensi berita Xinhua melaporkan pasukan penyelamat telah dikerahkan ke dua daerah yang terjejas, dengan tahap kecemasan dinaikkan ke tahap tertinggi.
Sebuah padang bola yang terletak di daerah Rongjiang ditenggelami air sedalam tiga meter.
Seorang penduduk, Long Tian, berkata air naik dengan pantas dan dia terpaksa menunggu bantuan di tingkat tiga sebelum diselamatkan.
Setakat petang Selasa, seramai 80,900 orang telah dipindahkan dari kawasan terjejas.
Minggu lalu, puluhan ribu penduduk juga dipindahkan dari wilayah Hunan akibat hujan lebat berterusan. - AFP