FOTO AFP
WASHINGTON, 23 Februari- Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan langkah menyekat kewangan Rusia sebagai tindakan pertama dalam sekatan terhadap negara berkenaan.
Katanya, sekatan berkenaan dikenakan terhadap dua bank Rusia dan golongan elit negara itu selepas Moscow didakwa memulakan pencerobohannya ke atas Ukraine.
Biden menegaskan bahawa langkah itu hanya peringkat pertama sebagai tindak balas kepada Presiden Rusia Vladimir Putin.
Biden berkata bahawa lebih banyak sekatan akan menyusul jika Putin meluaskan cengkaman tentera Rusia melangkaui dua wilayah kecil di wilayah timur Donbas yang sudah pun di bawah kawalan pemisah yang disokong Rusia.
Putin mengumumkan pada hari Isnin bahawa dia telah mengiktiraf kemerdekaan kedua-dua kawasan dan berkata tentera Rusia akan melancarkan apa yang dipanggil misi "pemeliharaan keamanan" di wilayah itu.
"Dia menetapkan rasional untuk pergi lebih jauh," kata Biden.
Biden berkata Amerika Syarikat akan terus memberi tekanan kepada tentera Ukraine tetapi memberi isyarat masih ada masa untuk diplomasi dan bagi mengelak senario tindakan lebih keras.
"Sekatan peringkat pertama, kami melaksanakan sekatan ke atas hutang Russia. Ini bermaksud kami menyekat kerajaan itu daripada pembiayaan Barat.
"Mereka tidak lagi boleh memperoleh wang dari Barat dan tidak boleh membuat hutang baharu sama," katanya.
Tambah Biden, tindakan itu disasarkan kepada bank pembangunan Russia, VEB serta anggota elit negara berkenaan.
"Mereka berkongsi hasil rasuah daripada dasar dilaksanakan Kremlin dan harus turut sama menderita," katanya.
Pengumuman itu dibuat selepas Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan sekatan selaras dengan usaha Barat bagi menekan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Pegawai kanan pentadbiran AS berkata, biarpun tindakan menyekat pembiayaan baharu untuk Moscow dilihat langkah luar biasa dan tegas, tindak balas Washington tidak terlalu keras berbanding EU.
Bagaimanapun, katanya, semua pilihan masih terbuka termasuk menyasarkan Putin secara khusus bagi memastikan kesannya cukup ketara .
"Sekatan penuh terhadap VEB dan PSB, yang juga pembiaya utama tentera selain anak syarikat berkaitan bermakna semua aset luar negara Russia akan dibekukan serta disekat daripada menggunakan sistem perbankan AS.
"Washington difahamkan turut menyasarkan lima individu dan keluarga mereka di Russia untuk dikenakan sekatan sama," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen, dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan terus memantau tindakan Rusia.
"Jika ia menyerang Ukraine, AS dengan pantas mengenakan sekatan ekonomi meluas yang akan memberi kesan teruk dan berkekalan kepada ekonomi Rusia," katanya.
Tindakan Putin telah mencetuskan ketegangan diplomasi menerusi komunikasi antara Washington dan Ukraine, ketika pada masa sama Amerika Syarikat cuba mengekalkan kesepakatan negara anggota mengenai pendirian terhadap Rusia.
Rumah Putih mengalu-alukan keputusan Jerman untuk menghentikan projek saluran paip besar Nord Stream 2 yang bertujuan untuk menghantar gas asli Rusia ke Eropah, menyifatkannya sebagai tamparan kewangan dan geopolitik yang teruk kepada Putin.
"Menangguhkan saluran paip akan melegakan cengkaman geostrategik Rusia ke atas Eropah melalui bekalan gas asli," kata seorang pegawai kanan AS
"Pelaburan AS$11 bilion dan saluran paip gas berharga yang dikawal oleh Rusia kini akan menjadi sia-sia," kata pegawai itu, memanggil projek itu talian paip berharga Putin.
Selepas mengumumkan beliau menghentikan projek yang telah siap sepenuhnya, Canselor Jerman Olaf Scholz memberi amaran kepada Rusia bahawa terdapat juga sekatan lain yang boleh dikenakan jika langkah selanjutnya diambil.
"Tiada institusi kewangan Rusia selamat jika pencerobohan ini berterusan," kata pegawai itu kepada pemberita selepas pengumuman sekatan terhadap bank pembangunan negara VEB dan PSB, yang terikat dengan sektor pertahanan.
"Kawalan eksport yang menghentikan aliran komponen berteknologi tinggi ke Rusia juga merupakan sekatan utama kami yang berpotensi," tambah pegawai itu, sambil menyebut langkah itu akan memberi tekanan kerana teknologi kritikal yang diperlukan Rusia untuk mempelbagaikan ekonominya,: katanya. -AFP