fb fb fb fb fb

Biden kutuk serangan tembak ketika Trump berkempen di Pennsylvania

Salah seorang penonton yang hadir terkorban dalam serangan tersebut ketika Trump sedang berkempen Butler, Pennsylvania/Foto AFP

AMERIKA SYARIKAT, 14 Julai - Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengutuk insiden tembakan yang mencederakan pesaingnya, Donald Trump.

Trump ditembak dari jarak jauh ketika sedang berucap dalam satu perhimpunan di Pennsylvania pada Sabtu.

Dalam kejadian itu sekurang-kurangnya seorang penonton terbunuh.

Pemimpin politik dari kedua belah pihak mengutuk kekerasan itu beberapa minit selepas calon Republikan itu dibawa meninggalkan pentas oleh ejen Perkhidmatan Rahsia, dengan kelihatan darah mengalir di mukanya.

Biden menerusi kenyataan berkata, beliau bersyukur selepas mengetahui Trump selamat dan sihat.

"Saya mendoakan beliau dan keluarganya serta semua yang berada di perhimpunan itu, sementara kami menunggu maklumat lanjut.

"Saya dan Jill berterima kasih kepada ejen Perkhidmatan Rahsia kerana membawanya ke tempat yang selamat.

"Tiada tempat untuk keganasan seperti ini di Amerika. Kita mesti bersatu sebagai satu negara untuk mengutuknya," kata Biden.

Sementara itu, Barack Obama menerusi hantaran di X, berkata, "tiada tempat sama sekali untuk keganasan politik dalam demokrasi kita"

"Walaupun kita belum tahu dengan tepat apa yang berlaku, kita semua harus berasa lega bekas Presiden Trump tidak dicederakan secara serius.

"Gunakan masa ini untuk menunjukkan rasa hormat terhadap politik kita," katanya.

Dalam pada itu, bekas presiden George W. Bush mengutuk serangan terhadap Trump sebagai "pengecut".

"Laura dan saya bersyukur kerana Presiden Trump selamat susulan serangan pengecut itu. Kami memuji tindakan pantas Perkhidmatan Rahsia," katanya dalam satu kenyataan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN