fb fb fb fb fb

Biden gesa Republikan henti pertelingkahan, bimbang bantuan ke Ukraine terjejas

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 5 Oktober - Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mernyatakan kebimbangan dengan pergolakan politik yang berlaku di Washington yang dilihat mampu mengancam bantuan AS kepada Ukraine.

Beliau turut menggesa Republikan menghentikan pertelingkahan mereka dan mengembalikan bantuan kepada Kiev.

Biden berkata beliau akan memberikan ucaptama mengenai keperluan untuk menyokong perjuangan Ukraine menentang pencerobohan Rusia selepas huru-hara yang berlaku di Washington membimbangkan sekutu AS.

(Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden / FOTO AFP)

“Ia memang membimbangkan saya,” kata Biden kepada pemberita apabila ditanya sama ada penyingkiran speaker Dewan Republikan, Kevin McCarthy oleh penyokong tegar dalam partinya sendiri boleh menjejaskan lebih banyak dana untuk usaha perang Ukraine.

“Tetapi saya tahu terdapat majoriti ahli Dewan dan Senat kedua-dua parti yang telah mengatakan bahawa mereka menyokong pembiayaan Ukraine," tambah Biden.

Perjanjian terakhir Kongres untuk mengelakkan penutupan kerajaan AS pada hujung minggu tidak mengandungi pembiayaan baharu untuk Ukraine dan harapan untuk penyelesaian segera menjadi semakin rumit dengan pemergian McCarthy pada Selasa.

Pencabar untuk menggantikannya mempunyai pelbagai pandangan namun terdapat kalangan mereka iaitu ahli Republikan, Jim Jordan yang sememangnya ragu-ragu mengenai pembiayaan Ukraine.

Keadaan kini dilihat kritikal dengan Rumah Putih memberi amaran bahawa bantuan boleh kehabisan dalam beberapa bulan.

Biden menyatakan terdapat "cara lain yang boleh mencari pembiayaan" tanpa kelulusan kongres, tetapi tidak akan memberikan butiran lanjut.

Biden akan mendengar taklimat mengenai Ukraine daripada pasukan keselamatan negaranya pada Khamis, yang pertama menampilkan pegawai tertinggi tentera AS yang baharu, Jeneral Charles “CQ” Brown, tambah Rumah Putih.-AFP

Media Baharu